ad

Selangor jadi pengantara, runding isu pengosongan rumah Batu 11 Gombak

8 Nov 2025, 8:02 AM
Selangor jadi pengantara, runding isu pengosongan rumah Batu 11 Gombak

SABAK BERNAM, 8 NOV: Kerajaan Selangor masih berunding dengan penduduk berhubung pengosongan kediaman di kawasan Batu 11, Gombak bagi melaksanakan projek pembesaran Lebuhraya Karak.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya bertindak sebagai orang tengah antara pemaju dan penduduk untuk berbincang serta menambah baik kualiti penyelesaian.

“Penangguhan dibuat semalam dan perbincangan sedang berjalan untuk menangani isu ini. Penduduk bukan tinggal di tanah asal mereka tetapi di kawasan rizab hutan yang diduduki secara tidak sah.

"Mereka tidak boleh menceroboh duduk di kawasan hutan. Kita akan berikan jawapan terbaik selepas perbincangan selesai," katanya ditemui di Karnival Ban Canal 2025 di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat reruai cerap ketika Karnival Ban Canal 2025 di Parit 14 Simpang 5 Sabak Bernam pada 8 November 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Amirudin yang juga wakil rakyat Gombak memaklumkan beberapa persetujuan awal dicapai dan pihaknya kini dalam proses memuktamadkan butiran rundingan bersama kedua-dua pihak.

Menurutnya, projek tersebut penting untuk mengatasi masalah kesesakan terutama musim perayaan, namun tidak akan mengabaikan penduduk terjejas daripada menerima bantuan sewajarnya.

"Walaupun penempatan itu tidak sah, atas faktor kemanusiaan, kita berusaha bawa rundingan supaya mereka boleh berpindah dengan sokongan diperlukan. Itu dasar dan keputusan negeri," katanya.

Media sebelum ini melaporkan penduduk menerima notis pengosongan pertama pada 15 Oktober 2024 membabitkan 24 rumah, namun diberikan penangguhan tanpa tarikh tetap.

Bagaimanapun, pada 9 Oktober lalu, penduduk sekali lagi menerima notis baharu yang memaklumkan mereka perlu mengosongkan rumah dalam tempoh sembilan hari.

Notis kedua itu dikeluarkan Jabatan Perhutanan Selangor yang mengarahkan mereka mengosongkan kediaman masing-masing selewat-lewatnya 10 November ini.