ad

MB: Projek pembangunan baharu di Sabak Bernam diumum dalam Belanjawan 2026

8 Nov 2025, 7:00 AM
MB: Projek pembangunan baharu di Sabak Bernam diumum dalam Belanjawan 2026
MB: Projek pembangunan baharu di Sabak Bernam diumum dalam Belanjawan 2026
MB: Projek pembangunan baharu di Sabak Bernam diumum dalam Belanjawan 2026

SABAK BERNAM, 8 NOV: Kerajaan Negeri akan mengumumkan beberapa projek pembangunan baharu di Sabak Bernam menerusi pembentangan Belanjawan 2026 minggu depan, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

"Antara projek yang telah siap ialah perumahan rakyat di Taman Air Manis, yang kini mempunyai pembeli dan menunggu pelancaran rasmi. Di sebelah projek tersebut juga terdapat satu lagi pembangunan yang akan saya umumkan dalam bajet," katanya.

Beliau berkata, identiti pertanian akan terus dipelihara meskipun terdapat kawasan tertentu yang bakal dinaik taraf atau ditukar guna bagi memenuhi keperluan semasa.

"Sebahagian besarnya kita kekalkan. Namun ada kawasan yang mahu ‘convert’ atau dinaik taraf, seperti lokasi pendaratan ikan. Itu memang masih ada. Jika tidak dibangunkan atau dipertingkatkan, ia akan kekal pada takuk lama," katanya.

Menurut Amirudin, Kerajaan Negeri turut memberi penekanan kepada penambahbaikan infrastruktur serta sistem sokongan bagi memastikan sektor pertanian terus berkembang dan berdaya maju.

"Sistem sokongan kepada aktiviti pertanian juga akan kita tambah nilai di dalam daerah Sabak Bernam dan melalui Sabak Bernam Development Area (SABDA)," katanya.

Sementara itu, mengulas penganjuran Ban Canal 2025 di Parit 14, Simpang Lima Sabak Bernam, Amirudin berkata program berkenaan menerima sambutan menggalakkan dan dijangka melepasi angka sasaran pengunjung sehingga esok.

"Penganjuran Ban Canal yang memasuki edisi ketiga itu semakin berkembang dari tahun ke tahun, termasuk peningkatan penyertaan pelbagai agensi serta penyertaan hampir 1,000 peserta bagi acara larian bendang.

“Saya percaya jumlah pengunjung akan melepasi angka 20,000 seperti yang disasarkan,” katanya.

Karnival Ban Canal 2025, anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, melalui inisiatif SABDA berlangsung sehingga esok dengan pelbagai aktiviti menarik seperti lari bendang, sukan air dan rakyat, persembahan seni budaya, jualan usahawan tempatan serta segmen Bicara Malam Jumaat yang menjadi acara kemuncak tahunan.