SHAH ALAM, 7 NOV: Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Jalan Kebun di sini mempertingkat rondaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan cubaan pencerobohan rumah di Lorong Haji Husin bulan lalu.
Langkah proaktif itu diambil bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin serta mengelak berulangnya kejadian tidak diingini, khususnya di kawasan berisiko dan pada waktu malam.
Pengerusi JPKK Kampung Jalan Kebun, Ahmad Muhidin Dasuki berkata semangat kejiranan menjadi tunjang utama dalam usaha membanteras aktiviti jenayah di peringkat akar umbi.
Menurutnya, keberkesanan langkah pencegahan jenayah bergantung kepada penglibatan aktif masyarakat setempat yang prihatin dan saling berkomunikasi.
Beliau turut menyeru semua pihak agar terus bersatu padu dan berperanan aktif menjaga keamanan kampung, selaras dengan matlamat mewujudkan komuniti selamat, harmoni dan bebas jenayah.
Penduduk digalak melapor sebarang aktiviti mencurigakan bagi membolehkan tindakan segera diambil pihak berkuasa.




