ad

KBS larang kanak-kanak bawah 15 tahun sertai sukan tempur

7 Nov 2025, 9:04 AM
KBS larang kanak-kanak bawah 15 tahun sertai sukan tempur

SHAH ALAM, 7 NOV: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil langkah tegas melindungi keselamatan atlet muda dengan melarang penyertaan kanak-kanak bawah 15 tahun dalam mana-mana pertandingan sukan tempur full-contact seperti tinju, muay thai, kickboxing dan seni bela diri campuran (MMA) yang tidak menggunakan pelindung keselamatan.

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata keputusan itu dibuat selepas meneliti peningkatan penganjuran acara sukan tempur membabitkan pempengaruh dan selebriti, yang kini semakin popular tetapi mempunyai risiko kecederaan tinggi terhadap atlet muda.

“KBS tidak akan berkompromi dengan keselamatan dan integriti atlet walaupun acara ini mendapat sambutan serta mampu menjana impak ekonomi.

"Hanya kejohanan rasmi anjuran Persatuan Sukan Kebangsaan atau Persatuan Sukan Negeri berdaftar di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576] dibenarkan menampilkan atlet bawah umur,” katanya dalam kenyataan, lapor Kosmo.

Menurut Hannah, KBS juga akan menggubal garis panduan khusus bagi sukan tempur dan mengarahkan Pesuruhjaya Sukan menilai semula mekanisme kawal selia bagi memastikan setiap acara dijalankan dengan lebih selamat dan profesional.

Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) turut akan menyelia pengumpulan data merentas semua disiplin sukan tempur, termasuk statistik kecederaan dan insiden kesihatan, bagi membantu pembentukan dasar keselamatan nasional yang lebih kukuh.

“Langkah ini menunjukkan komitmen kerajaan memastikan sukan tempur tidak dijadikan sekadar hiburan semata-mata, sebaliknya dikawal secara beretika, berlandaskan undang-undang dan menjaga kebajikan atlet muda negara,” tegasnya.