SHAH ALAM, 7 NOV: Pasangan kekasih yang juga penganggur ditahan polis semalam, gara-gara menanam pokok ganja di sebuah kondominium di Bangsar, selepas tujuh minggu mempelajarinya dari YouTube.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata pasangan berusia 40 dan 48 tahun ditahan dalam serbuan jam 11.30 malam tadi, lapor Berita Harian.
Menurutnya, polis turut merampas dua pokok ganja setinggi 48cm dan tumbuhan kering disyaki ganja seberat 27 gram dengan nilai keseluruhan dadah dirampas RM1,210.
"Lelaki terbabit menyewa rumah itu hampir setahun bersama teman wanitanya di mana pokok itu mula ditanam sejak tujuh minggu lalu dengan mempelajari dari YouTube.
"Polis turut merampas dua telefon bimbit, empat utas rantai leher, seutas rantai kaki, seutas gelang tangan, dua cincin, dan empat loket," katanya seperti dilaporkan portal itu.
Katanya, suspek lelaki mempunyai satu rekod dadah dan ujian saringan air kencing positif dadah, manakala suspek wanita negatif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.




