HULU LANGAT, 6 NOV: Kreativiti dan kesedaran terhadap isu alam sekitar terserlah dalam kalangan peserta Pertandingan TVET sempena Hari Terbuka TVET anjuran Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS), apabila mereka menghasilkan pelbagai inovasi mesra alam berasaskan bahan terpakai.
Pengajar Perkhidmatan Kaunter Hadapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik Nurul Syahirah Sarkawi, bersama pelajarnya menghasilkan sabun daripada sisa biji kurma yang dipercayai dapat mengurangkan parut dan menurunkan suhu badan ketika demam.

“Idea ini tercetus apabila saya perhatikan banyak biji kurma dibuang begitu sahaja. Saya mengambil inisiatif menghasilkan produk semula jadi yang berpotensi dikomersialkan, sambil memberi nilai tambah kepada bahan sisa,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jugra, Nisa’ Hasna Nabilah Khairil Anwar, bersama rakan-rakannya memperkenalkan Rebag Plus, beg mesra alam yang dihasilkan daripada sisa makanan seperti kulit pisang dan lobak.

“Masalah mikroplastik yang semakin serius di Malaysia mendorong kami mencipta produk ini. Kami juga mendapat sokongan daripada guru-guru dan pekerja kantin yang membantu mengasingkan bahan-bahan untuk digunakan,” katanya.
Pertandingan itu menyediakan platform kepada pelajar sekolah, kolej dan institusi latihan untuk mempamerkan inovasi, sambil menyemai nilai kelestarian, keusahawanan dan kesedaran terhadap pembangunan hijau dalam kalangan generasi muda.









