ad

Zambry tegur pensyarah bincang isu luar kepakaran akademik

6 Nov 2025, 12:17 PM
Zambry tegur pensyarah bincang isu luar kepakaran akademik

SHAH ALAM, 6 NOV: Pensyarah universiti dinasihat agar tidak mengulas isu di luar bidang kepakaran masing-masing bagi menjaga integriti akademik dan kredibiliti institusi pendidikan tinggi.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata dunia akademik mempunyai garis panduan tersendiri yang perlu dihormati bagi memelihara maruah ilmu dan profesionalisme warga pendidik.

“Kita tidak menghalang pensyarah memberikan pandangan masing-masing, tetapi adalah malang sekiranya mereka bercakap perkara di luar bidang mereka.

“Seperti yang saya sebutkan berkali-kali, supaya memberikan tumpuan kepada bidang kepakaran masing-masing,” katanya seperti dilapor FMT.

Zambry berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bahawa teknik pembinaan kapal tamadun Rom zaman dahulu dipercayai dipelajari daripada pelaut Melayu.

Ulasan itu dibuat susulan penemuan sekeping papan kayu yang dipercayai serpihan daripada badan sebuah kapal dari abad ke-13 di Pulau Melaka, Melaka pada Jumaat lalu.

Menurut beliau, pensyarah seharusnya menjadi rujukan masyarakat dalam bidang yang mereka kuasai dan memberi pandangan berdasarkan kepakaran, bukannya menyentuh perkara di luar skop akademik.

Terdahulu, beliau menjelaskan bahawa kurikulum pendidikan tinggi bukan sekadar merangkumi kandungan ilmu, tetapi turut menekankan nilai, kemahiran insaniah dan kebolehpasaran graduan selaras dengan pelan pendidikan 10 tahun.

“Sistem pendidikan perlu menyeimbangkan kepakaran bidang dengan pembinaan insan dan menjadikan kemanusiaan sebagai teras dalam pelan tindakan pendidikan tinggi,” ujarnya.