SHAH ALAM, 6 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menyiapkan kertas cadangan pelaksanaan insentif gula secara bersasar sebelum dibentangkan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh bagaimanapun tidak mendedahkan butiran mengenai kertas cadangan itu, lapor Berita Harian.
"Ada insentif gula... dan pihak KPDN sedang menyiapkan kertas (untuk dibincangkan dalam) MJM (Mesyuarat Jemaah Menteri), belum lulus... sedang menyiapkan beberapa cadangan (termasuk) bagaimana hendak mengurangkannya.
"Ini akan dibawa ke Kabinet," katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara itu pada sidang media selepas menyempurnakan majlis perasmian KBBM di Lotus Setia Alam, di sini.
Terdahulu, media melaporkan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying ketika dalam sidang Dewan Rakyat memaklumkan kerajaan akan meneliti pelaksanaan penyasaran subsidi bagi barangan keperluan utama seperti gula, beras dan minyak masak secara berperingkat dan berfasa bagi mengelakkan ketirisan.
Hui Ying dilaporkan berkata, langkah itu akan dilaksanakan selepas kajian menyeluruh dibuat bagi memastikan bantuan tersebut sampai kepada golongan sasar dan tidak membebankan rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, Fuziah berkata, mekanisme pemberian minyak masak paket bersubsidi masih lagi digunakan yang mana sehingga kini kuota 60,000 metrik tan sebulan masih kekal dijual di pasaran tempatan.
"Kita memastikan minyak masak ini sampai kepada pengguna iaitu rakyat Malaysia melalui penggunaan aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) untuk mengesan perjalanan minyak masak.
"Rakyat boleh membuat imbasan pada kod QR aplikasi itu dan ia memberi mereka akses untuk pengguna membeli minyak masak. Ini bagi memastikan tidak ada ketirisan kepada yang bukan rakyat negara ini membelinya," katanya.




