ad

Anugerah Yayasan Raja Muda Selangor angkat ikon muda berilmu, berjiwa sukarelawan

6 Nov 2025, 11:30 AM
Anugerah Yayasan Raja Muda Selangor angkat ikon muda berilmu, berjiwa sukarelawan
Anugerah Yayasan Raja Muda Selangor angkat ikon muda berilmu, berjiwa sukarelawan
Anugerah Yayasan Raja Muda Selangor angkat ikon muda berilmu, berjiwa sukarelawan

HULU LANGAT, 6 NOV: Kejayaan dua anak muda menerima pengiktirafan sempena Anugerah Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) membuktikan usaha gigih, disiplin dan semangat menuntut ilmu mampu melahirkan generasi berilmu serta berjiwa sukarelawan.

Penerima Ikon Pelajar Yayasan Raja Muda Selangor, Nor Muhammad Muzhaffar Zahalan berkata rahsia kejayaannya terletak pada sikap tidak mudah berputus asa dan keberanian bertanya setiap kali berdepan kesukaran dalam pelajaran.

“Saya sentiasa berpegang pada prinsip jangan malu untuk bertanya kepada guru. Selain itu, penglibatan dalam pelbagai aktiviti turut membantu saya membina keyakinan diri dan keberanian untuk ke hadapan,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, penerima Anugerah Penglibatan Komuniti, Nurul Maisarah Mazlan berkata minatnya dalam kerja sukarelawan bermula ketika pandemik Covid-19 apabila dia mula membantu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

“Dari situ saya sedar bahawa aktiviti sukarelawan bukan sekadar membantu orang lain tetapi juga menyedarkan diri bahawa masih ramai yang lebih susah daripada kita.

“Ibu bapa dan pensyarah banyak memberi sokongan untuk terus aktif dalam bidang ini kerana bukan semua orang mampu melakukan kerja sebegini dengan konsisten,” tambahnya.

Anugerah YRMS merupakan sebahagian pengisian utama Hari Terbuka Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) anjuran yayasan tersebut yang bertujuan menghargai sumbangan belia dalam bidang akademik, kepimpinan serta khidmat komuniti.