SHAH ALAM, 6 NOV: Kementerian Kewangan (MOF) akan memperhalusi cadangan untuk memperluaskan bantuan tunai MyKasih dan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berbentuk skim baucar bagi penjaja kecil dan peniaga perkhidmatan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pihaknya mengambil maklum cadangan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) dan akan memperhalusi sistem sedia ada serta kemampuan untuk memperluaskan inisiatif kepada kumpulan terbabit, lapor Berita Harian.
"Kita mengambil (maklum) cadangan dan perlu memperhalusi serta melihat sistem sedia ada serta kemampuan sama ada jika kita melebarkan (inisiatif bantuan tunai) kepada area itu, ia boleh dikawal dengan baik (atau sebaliknya).
"Ini kerana kita tidak mahu ada isu lain yang berlaku (kelak). Janji saya, kita akan memperhalusi dan melihat jika cadangan itu boleh dilaksanakan," katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan, di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, BH melaporkan kerajaan disaran memperluaskan bantuan tunai MyKasih dan SARA berbentuk skim baucar bagi penjaja kecil dan peniaga perkhidmatan.
Bee Yin ketika membahaskan RUU Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa dilapor berkata program bantuan tunai mendapat sambutan baik dalam kalangan rakyat, namun ia terhad kepada perniagaan tertentu sahaja.
Justeru katanya, langkah utama untuk memperluaskan penggunaan MyKasih seperti baucar 'Community Development Council' (CDC) ini kepada penjaja kecil.




