SHAH ALAM, 6 NOV: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menjalankan operasi di kawasan parkir sekitar Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama selepas menerima aduan mengenai tindakan meletakkan kerusi dan meja bagi menghalang petak parkir awam.
Operasi itu dilaksana bagi menangani penyalahgunaan ruang parkir oleh pihak tidak bertanggungjawab, khususnya peniaga yang menjadikan kawasan tersebut sebagai tempat menyimpan barangan perniagaan.
Hasil pemeriksaan ke atas enam premis, MPKL menyita barangan daripada empat premis dan mengeluarkan 20 notis kesalahan kepada pemilik serta pengusaha terlibat.
“Tindakan penguatkuasaan ini selaras dengan Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana meletakkan kerusi, meja dan barangan lain sehingga menghalang kemudahan awam,” kata MPKL dalam kenyataan.
Selain itu, MPKL turut mengambil tindakan di bawah Seksyen 46(3)(a) akta sama yang membolehkan barangan halangan disita bagi memastikan kelancaran lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya.
“MPKL memandang serius perbuatan menghalang kemudahan awam yang menimbulkan ketidakselesaan kepada orang ramai.”
Pihak berkuasa tempatan itu menegaskan operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan menasihatkan peniaga supaya mematuhi undang-undang serta tidak mengambil kesempatan terhadap kemudahan awam yang disediakan untuk kegunaan bersama.




