KLANG, 6 NOV: Kestabilan politik dan pengukuhan nilai mata wang negara ketika ini menjadi pemangkin kepada kemasukan lebih banyak pelaburan berskala besar ke Malaysia, kata Dato’ Menteri Besar Selangor.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkembangan itu menuntut pentadbiran negeri menyediakan ekosistem pekerjaan yang lengkap dan selesa, sejajar agenda Rancangan Selangor Pertama (RS-1) yang menekankan kesejahteraan rakyat.
“Kita perlukan ekosistem yang utuh dan mampan. Tahun depan, kita akan bawakan RS-2, iaitu Selangor yang lebih makmur, pintar dan berdaya huni. Bukan sekadar maju atau dipenuhi teknologi dan aplikasi AI (kecerdasan buatan), tetapi negeri yang selesa didiami, kemudahan mampu milik, serta tawaran pendapatan rakyat yang tinggi.
“Saya yakin kita berada di landasan yang tepat. Selangor kini bukan sekadar negeri idaman pelabur, tetapi juga negeri pintar dengan tadbir urus yang baik,” katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ) Teratai di Meru, hari ini.
Mengimbas pelaksanaannya sejak diumumkan pada Julai 2022, RS-1 menjadi kerangka utama membentuk ekonomi mampan bagi mengukuhkan kesejahteraan rakyat, termasuk hasrat menyumbang 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.
RS-1 turut merangkumi projek strategik berskala besar seperti Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) dan Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS), sebagai langkah berdepan ekonomi global yang dijangka perlahan tahun hadapan.
Sementara itu, RS-2 yang dijangka dibentang Jun tahun depan, membawa beberapa agenda baharu termasuk usaha membawa negeri ke arah status bandar metropolitan menjelang 2029 serta meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan awam di antara utara dan selatan Selangor.




