TEL AVIV, 6 NOV: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) merancang untuk melancarkan kempen vaksinasi besar-besaran di Semenanjung Gaza pada Ahad ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Kira-kira 44,000 kanak-kanak yang tidak dapat divaksin sepanjang dua tahun serangan Israel, dijadualkan menerima vaksin dalam tempoh 10 hari bagi penyakit campak, beguk, rubela dan polio. Dos seterusnya akan diberikan pada Januari.
Susulan penemuan virus polio di Semenanjung Gaza, WHO menjalankan kempen vaksinasi semasa gencatan senjata pada musim panas 2024 dan Februari 2025.
Walaupun terdapat pasukan vaksinasi bergerak, sebahagian kanak-kanak masih tidak dapat divaksin.
WHO menganggarkan, 20 peratus kanak-kanak berusia bawah lima tahun tidak pernah menerima vaksin atau hanya menerima vaksin secara tidak mencukupi akibat konflik.
Serentak dengan kempen imunisasi, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) akan menilai tahap kekurangan zat makanan bagi membantu golongan muda dengan lebih cepat dan berkesan.
WHO menyatakan liputan vaksinasi di Semenanjung Gaza adalah sebanyak 98 peratus sebelum serangan Israel, namun kini dianggarkan menurun bawah 70 peratus.




