Nilai kemajuan bukan soal pembangunan fizikal semata-mata tetapi tentang masyarakat yang saling bergandingan dan memiliki daya saing tinggi seterusnya berupaya memakmurkan negeri.
Lebih-lebih lagi di luar bandar seperti Sabak Bernam. Tanpa bangunan menongkat langit, daerah itu sebenarnya memiliki banyak peluang ekonomi untuk dinikmati penduduk setempat.
Justeru, banyak penekanan diberi kepada pembangunan berasaskan agro-pelancongan, seni dan budaya di samping meneruskan usaha memperkukuh nilai perpaduan dan kebajikan rakyat.
EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Datuk Rizam Ismail yang juga anak kelahiran Sungai Tawar, Sabak Bernam banyak membuka ruang untuk belia dan penggiat seni memanfaatkan bakat mereka.
Pernah menjadi penghulu paling muda di Selangor, beliau menggalakkan penyertaan generasi baharu dalam sektor kreatif antaranya kraftangan, rumah inap desa, wau tradisional, permainan gasing, silat dan kompang.

Ia seiring Pelan Tindakan Strategi Ekonomi Kreatif Selangor yang dilancarkan pada September.
Perancangan itu antara lain menetapkan sasaran sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM20 bilion menjelang 2035.
Rizam juga gigih membina jaringan koperasi luar bandar melalui pelbagai program antaranya Kampung Angkat Madani yang memberi bantuan geran dan bimbingan kepada ketua kampung untuk menjana ekonomi setempat.
Inisiatif tersebut bukan sekadar meningkatkan pendapatan penduduk setempat sebaliknya turut mengembalikan semangat berdikari dan sikap saling percaya dalam masyarakat desa.
“Kita tidak boleh hanya bagi ikan, kita kena ajar masyarakat memancing. Dengan cara itu, mereka boleh berdikari dan membangunkan ekonomi sendiri,” katanya dalam Siapa Tahu? terbitan Media Selangor baru-baru ini.
Beliau percaya koperasi bukan sekadar tempat niaga atau menjual hasil tani tetapi wadah mengimbangi pasaran dan membebaskan petani, nelayan serta peniaga kecil daripada kebergantungan kepada orang tengah.
“Saya melihat koperasi boleh bantu kawal harga barangan, sama seperti di Jepun yang bangkit semula melalui sistem koperasi selepas perang dunia,” katanya lagi.

Perjalanan politik Rizam tidak bermula di pentas besar. Ia bermula di desa yang suara rakyat kedengaran dalam bentuk gotong-royong, mesyuarat belia dan sembang petang di serambi rumah.
Dari situ beliau dikenali. Rizam meneruskan khidmat sebagai Ketua Pemuda Umno cawangan, sebelum menjadi calon Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Air Tawar seterusnya dilantik sebagai EXCO negeri pada 2023.
Pernah dinobat sebagai Ikon Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Selangor pada 2015, beliau rajin turun padang meramahi penduduk, berbual di warung atau menziarahi nelayan di jeti kecil. Mendengar suara rakyat lebih bermakna daripada membaca laporan bertulis.
Kepimpinan sederhana itu hasil didikan Allahyarham bapanya, Ismail Zakaria. Sejak kecil, Rizam biasa melihat bapanya berbicara soal perjuangan dan kepentingan masyarakat. Dari situlah tertanam minat untuk berbakti kepada rakyat.
“Saya diajar untuk tidak mengejar jawatan. Kalau kita kejar bayang-bayang, dia akan menjauh. Tapi kalau kita berlari meninggalkannya, bayang-bayang itu akan mengikuti kita," katanya.




