ad

Bayar saman JPJ selewat-lewatnya 30 Disember, elak disenarai hitam

6 Nov 2025, 6:18 AM
Bayar saman JPJ selewat-lewatnya 30 Disember, elak disenarai hitam

SHAH ALAM, 6 JAN: Sebanyak 5,538,038 saman direkodkan masih tertunggak di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) setakat ini.

Daripada jumlah itu, Notis JPJ (P) 22 mencatat bilangan tertinggi dengan 3,685,164 saman, diikuti kompaun melalui Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (1,387,384), Notis 114 (297,382), Notis 115 (161,669) dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 (6,409).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pengguna yang mempunyai saman tertunggak diberikan tempoh hingga 30 Disember untuk melunaskan kompaun sebelum pelarasan kadar kompaun antara JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2026, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, tempoh pembayaran bermula 1 November lalu turut menawarkan diskaun 50 peratus bagi semua saman tertunggak. Selepas tempoh itu, tindakan mahkamah dan senarai hitam akan dilaksanakan.

“Selepas 1 Januari 2026, jika saman masih belum dijelaskan, Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan lesen memandu boleh disenarai hitam.

:Ini bermakna mereka tidak boleh memperbaharui LKM, dan tindakan itu akan diintegrasikan melalui sistem MySikap,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan dan sambutan Deepavali kementeriannya, di sini hari ini.