ad

Guni dan tong sampah jadi tempat sorok dadah, 27.3kg dirampas

5 Nov 2025, 3:54 AM
Guni dan tong sampah jadi tempat sorok dadah, 27.3kg dirampas

KLANG, 5 NOV: Polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah menerusi serbuan di sebuah rumah di Taman Sentosa, hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Klang Selatan.

Menurut kenyataan Polis Klang Selatan, operasi diketuai Asisten Superintendan Anizam Husin membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan sebelum pemeriksaan menemui empat paket plastik berisi syabu seberat 53.1 gram.

“Siasatan lanjut di rumah sama turut menemukan tiga paket plastik berisi syabu seberat 33.9 gram. Hasil soal siasat pula membawa kepada penemuan tambahan 14 paket kecil berisi ganja dan ketamin yang disembunyikan dalam tong sampah,” katanya.

Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek kemudian menemukan 24 bungkusan plastik berisi syabu dengan anggaran berat 24 kilogram yang disorok di dalam guni, selain tiga bungkusan plastik hitam berisi syabu seberat 3.1 kilogram.

Secara keseluruhan, polis merampas 27.3 kilogram dadah pelbagai jenis bernilai kira-kira RM933,108. Dua kereta milik suspek turut disita kerana dipercayai digunakan dalam aktiviti pengedaran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali, selain beberapa seksyen lain termasuk 39A(1) dan 15(1)(a) akta sama.

Polis Klang Selatan menegaskan komitmen untuk terus membanteras penyalahgunaan dadah bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat setempat.