ad

Kerangka produk insurans, takaful kesihatan terima maklum balas positif, dimuktamad akhir tahun

5 Nov 2025, 12:11 AM
Kerangka produk insurans, takaful kesihatan terima maklum balas positif, dimuktamad akhir tahun

SHAH ALAM, 5 NOV: Kerangka dan konsep produk asas insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT), yang dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun, menerima maklum balas menggalakkan daripada ahli majlis perundingan, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Dalam hantaran di media sosial berhubung mesyuarat kedua Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri bagi Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS), BNM memaklumkan maklum balas itu diterima daripada wakil persatuan insurans dan takaful, doktor dan pakar hospital swasta, persatuan perubatan, ahli akademik serta kumpulan pengguna.

Produk asas berkenaan dirangka untuk menggalakkan penjagaan kesihatan berasaskan nilai, selain membantu menguruskan inflasi kos perubatan yang meningkat, sekali gus menjadikan perkhidmatan kesihatan swasta lebih mudah diakses dan terus mampu milik oleh rakyat.

“Dalam mesyuarat itu, Datuk Jessica Chew selaku pengerusi Jawatankuasa Pemandu JBMKKS membentangkan perkembangan utama berhubung produk MHIT yang sedang melalui proses rundingan bersama pihak berkaitan,” kata BNM.

Mesyuarat berkenaan yang berlangsung pada 29 Oktober lalu dipengerusikan bersama Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Menurut BNM, kedua-dua menteri menegaskan keperluan tindakan kolaboratif melibatkan semua pihak berkepentingan bagi memacu reformasi penjagaan kesihatan yang bermakna serta memastikan tahap mampu milik jangka panjang.