SHAH ALAM, 5 NOV: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berdepan cabaran besar mengembalikan kredibiliti dan kepercayaan peminat susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, isu tersebut menjejaskan imej bola sepak negara selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menolak sepenuhnya rayuan FAM.
“Keputusan yang dikeluarkan menunjukkan mereka (FIFA) memang mempunyai bukti-bukti yang kukuh bahawa kita memang melakukan kesalahan besar dalam konteks bola sepak antarabangsa.
“Kita dah buat perkara yang melanggar peraturan FIFA. Kita harus menerimanya dengan penuh keinsafan dan kesedaran, lantas terus bergerak ke hadapan,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau turut menegaskan pengambilan pemain warisan perlu mengikut tatacara dan mematuhi peraturan FIFA bagi mengelak masalah yang boleh menjejaskan reputasi bola sepak negara.

Sementara itu, Ketua Editor Vocket FC, Misdianto Mik’an berkata kemelut yang dihadapi FAM nyata mencalar nama baik Harimau Malaya dan individu bertanggungjawab perlu diheret ke muka pengadilan.
“Kesalahan yang dilakukan pun cukup serius, memalsukan dokumen dan juga ada penipuan di situ. Jadi FIFA tetap dengan keputusan mereka untuk menghukum Malaysia.
“Kalau hendak mengembalikan kepercayaan dan sokongan peminat, FAM perlu mengenal pasti individu bertanggungjawab ke atas kejadian ini dan membawanya ke muka pengadilan,” katanya.
Kelmarin, FIFA mengekalkan keputusan menolak rayuan FAM berhubung kes tujuh pemain warisan yang melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Susulan itu, FAM didenda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala tujuh pemain terbabit didenda CHF2,000 (sekitar RM11,000) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak.
FAM dan semua pemain berkenaan mempunyai tempoh 10 hari untuk memohon keputusan bersebab, serta 21 hari berikutnya bagi mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu turut mengejutkan barisan peguam dan pengurusan FAM memandangkan badan induk bola sepak negara itu memberi kerjasama penuh sepanjang proses berkenaan.






