KUALA LUMPUR, 4 NOV: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus mengimbangi antara keperluan mematuhi peraturan antarabangsa dan tuntutan akauntabiliti dalam negara berhubung isu dokumentasi tujuh pemain bola sepak warisan negara.
Menterinya Hannah Yeoh berkata langkah itu penting bagi memastikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memperkukuh tadbir urus serta mengembalikan keyakinan rakyat terhadap integriti dan kredibiliti bola sepak negara.
“Penggantungan seperti itu bukan sahaja memberi kesan kepada pasukan kebangsaan utama, tetapi turut melibatkan semua pasukan bawah umur serta pihak lain seperti Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Liga Bolasepak Amatur (AFL) dan kelab-kelab yang bertanding dalam Liga Malaysia.
“Tindakan ini akan menjejaskan keseluruhan ekosistem bola sepak tempatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata kerajaan juga perlu berhati-hati dalam isu berkenaan kerana sebarang bentuk campur tangan boleh menyebabkan FAM digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Hannah berkata dalam sejarah bola sepak antarabangsa, beberapa negara telah berdepan tindakan penggantungan oleh FIFA akibat campur tangan kerajaan antaranya Indonesia pada 2015, Zimbabwe (2022), Chad (2021), Benin (2015) dan Brunei (2009).
Beliau berkata contoh itu menunjukkan bahawa FIFA tegas dalam menegakkan Statut 15(c) yang menetapkan setiap persatuan bola sepak mesti bebas daripada sebarang bentuk campur tangan politik atau kerajaan yang menjadi prinsip asas kepada keanggotaan mana-mana negara di bawah organisasi berkenaan.
Pada masa sama, beliau berkata KBS melalui Pejabat Pesuruhjaya Sukan akan bekerjasama rapat dengan Jawatankuasa Siasatan Khas Bebas diketuai bekas Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif dalam isu berkenaan.
“Hasil siasatan ini akan menjadi asas kepada pelaksanaan langkah-langkah pembetulan serta penambahbaikan yang perlu dipatuhi oleh FAM,” katanya.
Semalam, FIFA menolak rayuan dibuat oleh FAM dan tujuh pemain terlibat, iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan hukuman dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu terhadap FAM dan tujuh pemain warisan atas kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen di bawah Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC).
Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda CFH350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM11,000).
Ketujuh-tujuh pemain berkenaan turut digantung selama 12 bulan daripada aktiviti berkaitan bola sepak.
Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi, yang terkejut dengan keputusan itu berkata pihaknya akan menulis kepada FIFA bagi mendapatkan butiran penuh serta alasan bertulis berhubung keputusan berkenaan, sebelum menentukan langkah seterusnya bagi mengemukakan rayuan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).




