ad

AGC keluar arahan baharu, polis siasat semula kes murid mati dalam tandas

4 Nov 2025, 9:23 AM
AGC keluar arahan baharu, polis siasat semula kes murid mati dalam tandas

SHAH ALAM, 4 Nov: Siasatan berhubung kematian seorang murid tahun empat di sebuah sekolah di Senawang, awal bulan lalu, masih diteruskan apabila polis menerima semula kertas siasatan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) dengan beberapa arahan baharu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata arahan tersebut diterima semalam dan pihaknya kini sedang melengkapkan tindakan susulan seperti ditetapkan AGC.

Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan proses siasatan.

“Kami menerima semula kertas siasatan daripada AGC pada 3 November lalu. Terdapat arahan baharu yang perlu diambil tindakan sebelum kertas siasatan dikembalikan semula kepada Peguam Negara.

“Memandangkan kertas siasatan masih dalam proses dilengkapkan sepenuhnya, saya memohon semua pihak tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Alzafny berkata, keputusan akhir siasatan akan dimaklumkan selepas pihaknya menerima arahan lanjut daripada AGC.

Sebelum ini, polis dilapor sudah melengkapkan siasatan menyeluruh dengan bantuan pelbagai elemen kepakaran bagi mengenal pasti punca kematian murid berkenaan.

Bagaimanapun, bapa mangsa, Muhammad Hafizuddin Abdullah, 40, dalam sidang media semalam mendakwa menerima sebuah buku catatan yang mengandungi tulisan ugutan bunuh ditujukan kepada anaknya.

Dia turut mempersoalkan status kes kerana mendakwa tidak menerima sebarang perkembangan sejak kali terakhir berhubung dengan pegawai siasatan pada 5 Oktober lalu.

Terdahulu, media melaporkan kematian kanak-kanak itu berpunca daripada tekanan pada leher dan polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 507C Kanun Keseksaan, iaitu buli melalui komunikasi.