ad

Dua wanita kutip sumbangan, menyamar wakil persatuan bekas polis ditahan

4 Nov 2025, 6:35 AM
Dua wanita kutip sumbangan, menyamar wakil persatuan bekas polis ditahan

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Dua wanita ditahan kerana disyaki menyamar wakil sebuah persatuan bekas anggota polis bagi meminta sumbangan tunai daripada orang awam di kawasan Hulu Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ibrahim Husin berkata pihaknya menerima laporan mengenai kegiatan itu jam 5.50 petang daripada seorang peniaga besi buruk yang mendakwa didatangi dua wanita berkenaan meminta sumbangan RM1,000 kononnya bagi pihak persatuan itu.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor berjaya menahan dua wanita berumur 23 dan 37 tahun yang disyaki terlibat dalam kegiatan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil penahanan mereka, polis merampas pelbagai barangan termasuk sebuah kereta Perodua Myvi, enam buku resit, 15 keping dokumen, sembilan fail atas nama satu persatuan kebajikan, dua utas rantai perak serta wang tunai RM550.

“Kedua-duanya yang tidak memiliki rekod jenayah atau dadah dan negatif terhadap dadah direman untuk siasatan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3(3) Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947,” katanya.

- BERNAMA