ad

Pukul kanak-kanak dituduh curi pengecas bateri telefon bimbit, tiga ditahan

3 Nov 2025, 8:55 AM
Pukul kanak-kanak dituduh curi pengecas bateri telefon bimbit, tiga ditahan

SHAH ALAM, 3 NOV: Polis menahan tiga lelaki disyaki terbabit kes memukul seorang kanak-kanak yang dituduh mencuri pengecas bateri telefon bimbit.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata semua suspek dalam lingkungan usia 49 hingga 61 tahun ditahan di tiga lokasi berasingan di Kelantan dan Kuala Lumpur, antara semalam hingga hari ini.

Beliau berkata terdahulu polis melihat satu hantaran dalam media sosial berhubung seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dipukul oleh beberapa lelaki di kawasan medan selera di sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ibu negara, katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, punca kejadian dipercayai suspek menuduh mangsa mencuri pengecas bateri milik rakannya.

"Mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan mengalami luka kecil di dahi dan mulut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan membuat ugutan jenayah terhadap mangsa,” katanya.