SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan akan meneliti penyasaran subsidi barangan asas seperti gula, beras dan minyak masak secara berfasa selepas pelaksanaan subsidi bahan api melalui program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) berjalan lancar.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata keutamaan ketika ini ialah memastikan model penyasaran subsidi benar-benar berkesan, telus dan tidak terdedah kepada ketirisan seperti sebelum ini.
“Kerajaan akan meneliti pelaksanaan penyasaran semula subsidi dan bantuan ke atas barangan bersubsidi lain secara berperingkat dan berfasa.
“Keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan keberkesanan penyasaran subsidi bahan api, khususnya diesel dan program BUDI95, yang akan dijadikan asas penstrukturan semula sistem subsidi negara,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, di Dewan Rakyat hari ini.
Syerleena ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai cadangan untuk memperluaskan penyasaran subsidi kepada barangan lain seperti gula, beras dan minyak masak.
Bagi menangani kebocoran dan penyalahgunaan subsidi, Hui Ying berkata kerajaan meningkatkan kerjasama penguatkuasaan melalui operasi bersepadu seperti Ops Tiris dan Kita Gempur, yang menumpukan kepada pembanterasan aktiviti manipulasi dan penyelewengan bekalan bersubsidi.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan turut memperluas akses kepada barangan bersubsidi melalui Program Jualan Rahmah MADANI 2025 dengan kekerapan sekurang-kurangnya dua kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), berbanding sebelum ini yang hanya dilaksana di peringkat Parlimen.
“Dengan langkah ini, rakyat akan lebih mudah mendapatkan barangan bersubsidi termasuk di kawasan yang kekurangan bekalan kedai runcit,” jelasnya.
Kerajaan telah menetapkan harga runcit RON95 tanpa subsidi pada RM2.60 seliter, namun penerima BUDI95 dapat menikmati harga bersubsidi RM1.99 seliter.
Sebanyak 16 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas, yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif, layak menikmati subsidi petrol RON95, dengan setiap individu diberi kelayakan hingga 300 liter sebulan.
Senarai kelayakan penerima BUDI95 turut dikemas kini secara berkala berdasarkan data terkini bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang layak tercicir daripada program berkenaan.




