ad

Kes tembak di Golok: Polis sahkan suspek bekas pemain import bola sepak Kelantan

2 Nov 2025, 11:22 AM
Kes tembak di Golok: Polis sahkan suspek bekas pemain import bola sepak Kelantan

SHAH ALAM, 2 NOV: Polis mengesahkan suspek dalam kes seorang lelaki Malaysia ditembak mati di pekan Sungai Golok, semalam, adalah bekas pemain import bola sepak Kelantan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata ia berdasarkan hasil siasatan dijalankan pegawainya, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya telah melancarkan operasi memburu suspek yang dipercayai mempunyai dua kewarganegaraan, lapor NST.

"Berdasarkan hasil siasatan, kami berjaya mengenal pasti suspek yang merupakan bekas pemain import bola sepak negeri ini.

"Selain mengadakan sekatan jalan raya, saya juga telah mengarahkan semua agensi yang mengawal sempadan supaya memperketatkan pemantauan," katanya.

Mengenai mangsa bunuh pula, Mohd Yusoff berkata, hasil pemeriksaan mendapati lelaki berusia 33 tahun itu mempunyai empat rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

"Mangsa didapati terbabit penyalahgunaan dan pemilikan dadah sejak 2020.

"Dia juga didapati memasuki Thailand dengan menggunakan pas sempadan, pagi semalam," katanya.

Ditanya sama ada motif insiden itu mempunyai kaitan dengan hutang berkait dadah pula, Mohd Yusoff berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa Thailand untuk menyiasat perkara berkenaan.

Terdahulu, media melaporkan seorang rakyat Malaysia dikenali sebagai Mohd Fuad Fahmie, 33, parah ditembak lapan kali oleh seorang lelaki selepas dikatakan berlaku pertengkaran antara kedua-duanya kira-kira jam 6.40 petang semalam.

Susulan itu, mangsa dikejarkan ke Hospital Sungai Golok untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia.