ad

Nga Kor Ming minta maaf kepada pengamal media

2 Nov 2025, 7:31 AM
Nga Kor Ming minta maaf kepada pengamal media

IPOH, 2 NOV: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming hari ini memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang dikeluarkannya semasa prapelancaran projek pencahayaan I Lite U di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Nga berkata beliau menerima dengan hati terbuka segala teguran yang diberikan terhadap kenyataannya dalam program berkenaan dan menarik balik kata-kata yang menimbulkan kekeliruan atau rasa terkilan dalam kalangan pihak media.

“Pada masa hari ini, sempena hari Ahad yang penuh permai ini, berkaitan dengan kekhilafan di Program Pencahayaan Bukit Bintang Kuala Lumpur, saya menerima dengan hati yang terbuka segala teguran.

“Sekiranya ada rakan-rakan media yang terkilan dengan kata-kata itu, saya tarik balik dan mohon maaf supaya kita dapat fokus kepada usaha membina semula tanah air kita yang tercinta ini,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Taman MADANI di Taman Book Bak, di sini hari ini.

Nga menegaskan dirinya amat menghormati pengamal media serta kebebasan bersuara mereka dalam menjalankan tugas.

“Jadi, sebab itu sekiranya ada rakan-rakan media yang rasa terkilan, saya tarik balik dan juga mohon maaf, supaya kita dapat fokus untuk menjana memastikan kita terus mengangkat martabat negara.

“Saya mahu fokuskan kepada pembangunan negara. Itu penting,” katanya.

Sebelum ini tular rakaman video di sebuah acara memaparkan Nga menjawab pertanyaan seorang wakil media dengan nada sedikit keras berkaitan nama prapelancaran projek I Lite You di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, yang menggunakan bahasa Inggeris pada Rabu lepas.

Tindakan menteri itu menerima kecaman daripada pelbagai pihak termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan Gerakan Media Merdeka (Geramm).

-- BERNAMA