ad

Pelantikan Nenney Shuhaidah perkukuh institusi keadilan syariah Selangor - Amirudin

2 Nov 2025, 7:20 AM
Pelantikan Nenney Shuhaidah perkukuh institusi keadilan syariah Selangor - Amirudin

SHAH ALAM, 2 NOV: Selangor mencatat sejarah tersendiri apabila Nenney Shuhaidah Shamsuddin dilantik sebagai Ketua Hakim Syarie wanita pertama negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari yakin kepimpinan Nenney Shuhaidah mampu terus memperkukuh institusi keadilan syariah serta mengangkat martabat pentadbiran Mahkamah Syariah Selangor yang berintegriti dan beramanah.

“Sekalung tahniah kepada Yang Amat Arif Nenney Shuhaidah Shamsuddin atas pelantikan sebagai Ketua Hakim Syarie negeri Selangor.

“Pelantikan ini detik bersejarah kerana Selangor kini mempunyai Ketua Hakim Syarie wanita pertama. Tahniah dan selamat menjalankan tugas,” katanya menerusi Facebook, hari ini.

Pada 30 Oktober lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan watikah pelantikan Ketua Hakim Syarie negeri kepada Nenney Shuhaidah, berkuat kuasa 1 November.

Pada majlis sama, Baginda turut berkenan menyerahkan pelantikan anggota panel tetap Hakim Rayuan Syariah Selangor kepada Datuk Mohd Raszi Abdul Latif, selain pelantikan Salwani Khalid sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah serta Norhazli Rahim sebagai Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah.

Turut menerima watikah, empat Hakim Mahkamah Rendah Syariah iaitu Muhammad Amir Firdaus Sidin, Mohd Amir Yahaya, Norul Aina Bahari dan Ahmad Faizul Ashar.