SHAH ALAM, 2 NOV: Universiti Islam Selangor (UIS) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi Sutaadmadja (STIESA) Indonesia bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan dan mobiliti pelajar.
Bahagian Komunikasi Korporat UIS memaklumkan, MoU dengan institusi yang terletak di Subang Jawa Barat itu dilaksana secara dalam talian pada 31 Oktober.
“Ia bertujuan memperkukuh jalinan strategik antara kedua-dua institusi dalam pelbagai bidang termasuk pertukaran pelajar dan pensyarah, kolaborasi akademik dan penyelidikan serta pelaksanaan program khidmat komuniti dan pembangunan lestari.
“Kerjasama antara UIS dan STIESA terjalin sejak 2020 melalui MoU pertama melibatkan pelbagai inisiatif seperti program mobiliti pelajar, pembentangan kertas kerja dalam International Conference on Management and Muamalah serta projek penyelidikan bersama,” katanya.
Menurut UIS, MoU itu ditandatangani Timbalan Naib Canselor Penyelidikan, Jaringan Komuniti dan Industri UIS Dr Latifa Bibi Musafar Hameed manakala STIESA diwakili Pengerusi Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi Sutaadmadja Daeng M Nazier.
Ia disaksikan Dekan Fakulti Ekonomi, Perakaunan dan Pengurusan (FEPP) UIS Dr Norfaizah Othman dan Timbalan Pengerusi STIESA Dr Gugyh Susandy.




