Upacara perayaan Sembilan Maharaja Dewa merangkumi pelbagai ritual sembahyang dan perarakan diraikan penganut Taoisme selama sembilan hari pada bulan kesembilan kalendar lunar.
Ia bermula dengan perarakan menjemput sembilan dewa, diikuti sembahyang berterusan di tokong, dan diakhiri dengan perarakan menghantar mereka pulang melalui jalan air.
Pelbagai pantang larang perlu dipatuhi sepanjang sembilan hari antaranya berpantang makan daging, bawang putih, dan makanan berunsur haiwan selain berpakaian serba putih.
Mereka juga menghadiri sembahyang harian di tokong dan mengikuti pelbagai ritual seperti pembakaran colok, persembahan buah-buahan, serta upacara penyucian diri untuk menebus dosa.
Pada hari terakhir, satu lagi upacara besar dijalankan untuk “menghantar” dewa kembali ke syurga, lazimnya melalui laut atau sungai yang sama.
Jurufoto Fikri Yusof merakam upacara yang berlangsung di tokong Kau Ong Ya, Ampang, yang menonjolkan nilai keagamaan dan spiritual, serta memperkukuh semangat komuniti dalam meraikan tradisi turun-temurun ini.











