BERLIN, 1 NOV: Pelumba Moto3 dari Switzerland, Noah Dettwiler, terus menunjukkan tanda pemulihan selepas terlibat dalam kemalangan serius pada perlumbaan di Malaysia Ahad lalu, menurut kenyataan pasukannya, lapor agensi berita Jerman dpa.
Dettwiler kini sudah sedar dan boleh berkomunikasi dengan keluarga serta pasukan perubatan.
Beliau telah dipindahkan dari unit rawatan rapi ke sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur, namun pelumba berusia 20 tahun itu masih berdepan proses pemulihan yang panjang, kata pasukannya semalam.
Pasukan itu sebelum ini memaklumkan bahawa Dettwiler tidak lagi berada dalam keadaan kritikal selepas menjalani beberapa pembedahan kecemasan.
Dettwiler mengalami beberapa kali serangan jantung dan terpaksa diberi rawatan kecemasan selepas terjatuh ketika pusingan pemanas badan menjelang Grand Prix Moto3 Malaysia di Sepang.
Doktor terpaksa membuang limpa beliau bagi menghentikan pendarahan dalaman yang teruk. Dettwiler turut menjalani pembedahan pada kaki yang mengalami patah terbuka.
Selain itu, beliau juga mengalami lebam teruk pada paru-paru dan hasil imbasan X-ray kemudian mendedahkan koyakan pada bahagian leher, menurut pasukannya.
Dettwiler perlu memakai pendakap leher selama beberapa minggu dan akan menjalani satu lagi pembedahan pada kaki. Belum dapat dipastikan bila beliau akan dapat kembali ke Switzerland.
- BERNAMA-dpa







