SHAH ALAM, 1 NOV: Kebakaran yang berlaku di tingkat 57 Menara 3 Petronas awal pagi tadi berjaya dikawal sepenuhnya oleh pihak bomba tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Hafizan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.41 pagi sebelum menggerakkan 35 anggota dari Balai Bomba Sentul, Jalan Tun Razak dan Hang Tuah ke lokasi kejadian.
"Pasukan tiba pada jam 6.48 pagi dan bertindak segera memadam kebakaran menggunakan sistem keselamatan kebakaran dalaman bangunan seperti hos bomba dan sistem wet riser.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 7.04 pagi dan dipadam sepenuhnya pada jam 8.45 pagi," katanya seperti dilaporkan NST.
Beliau berkata, sistem keselamatan kebakaran bangunan tersebut berfungsi dengan baik, membolehkan pasukan penyelamat menghalang api daripada merebak ke tingkat lain.

Tambahnya, tiada kecederaan dilaporkan dan Unit Forensik JBPM kini sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
"Sebuah restoran mewah yang beroperasi di tingkat berkenaan ditutup sementara waktu sehingga siasatan selesai dijalankan," katanya.
Menurut Mohd Hafizan, orang awam masih dibenarkan berada di kawasan sekitar bangunan tersebut kerana tiada risiko keselamatan.
Namun, beberapa kawasan masih ditutup sementara untuk kawalan keselamatan.
Keadaan di sekitar kawasan itu kembali seperti biasa dengan orang ramai dilihat menjalankan aktiviti harian, namun kehadiran polis kekal bagi tujuan pemantauan.
Terdahulu, tular beberapa video di media sosial memaparkan api marak dan asap tebal keluar dari bahagian atas bangunan pencakar langit berkenaan yang menempatkan sebuah premis makanan dan minuman mewah.




