ad

Tingkat atas Menara 3 KLCC terbakar

1 Nov 2025, 12:42 AM
Tingkat atas Menara 3 KLCC terbakar

SHAH ALAM, 1 NOV: Satu kebakaran berlaku di tingkat atas Menara 3 KLCC awal pagi tadi, melibatkan kawasan makanan dan minuman mewah yang terletak di bangunan ikonik itu.

Kejadian tersebut berjaya dirakam hos rancangan The Economy with Ibrahim Sani dari kediamannya yang berhampiran lokasi kejadian, dan video insiden turut dikongsi kepada umum.

Dalam rakaman itu, api dilihat marak sebelum berjaya dipadamkan pihak berkuasa, namun tahap kerosakan sebenar belum dikenal pasti setakat ini.

Menurut sumber awal, kawasan terjejas dipercayai menempatkan restoran atau fasiliti makanan dan minuman bertaraf premium yang menjadi tarikan pelawat di Menara 3 KLCC.

Rakaman insiden menunjukkan asap tebal memenuhi ruang udara sekitar KLCC, namun situasi kembali terkawal selepas tindakan pantas pasukan bomba.

Setakat laporan ini disiarkan, tiada kenyataan rasmi berhubung jumlah kerosakan, kecederaan atau kehilangan nyawa dalam kejadian tersebut.

KLCC yang merupakan antara mercu tanda utama ibu negara turut menempatkan pejabat korporat, pusat beli-belah dan lokasi pelancongan terkenal.