ad

Dakwaan RON95 kurang kuantiti, tidak berkualiti? Ini penjelasan KPDN

1 Nov 2025, 3:29 AM
Dakwaan RON95 kurang kuantiti, tidak berkualiti? Ini penjelasan KPDN

SHAH ALAM, 1 NOV: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan akan mengambil tindakan segera dan tegas terhadap sebarang salah laku dalam penjualan minyak petrol RON95 di stesen minyak seluruh negara.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, langkah itu diambil susulan beberapa hantaran di media sosial mendakwa pengguna menerima kuantiti petrol RON95 yang kurang dan berkualiti rendah selepas pelaksanaan subsidi bersasar BUDI95.

"Sehingga kini KPDN menerima enam aduan rasmi berkaitan isu kuantiti minyak RON95, manakala tiada aduan rasmi diterima berkaitan kualiti bahan api tersebut.

"Sehubungan itu, pegawai penguat kuasa KPDN sudah menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut berkaitan dakwaan tersebut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati tiada pelanggaran undang-undang dikesan setakat ini.

"KPDN ingin menegaskan pelaksanaan BUDI95 tidak menyebabkan sebarang perubahan terhadap kuantiti atau kualiti minyak RON95 yang dijual kepada pengguna di pasaran.

"Bagaimanapun, pemeriksaan berterusan akan diadakan termasuk pengambilan sampel secara rawak dan pengujian ketepatan sukatan," katanya.

Pada masa sama, Azman turut memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan ini boleh didenda bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730].

"Syarikat yang didapati bersalah boleh didenda maksimum RM250,000 manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM500,000

"Bagi kesalahan individu, denda boleh mencecah RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun dan bagi kesalahan berulang, denda sehingga RM250,000 atau penjara lima tahun," katanya.

Beliau turut menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat lengkap sekiranya mempunyai aduan berkaitan isu itu melalui saluran rasmi KPDN.