SHAH ALAM, 1 NOV: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mempelawa permohonan bagi penganjuran Bazar Ramadan Tahun 2026 oleh persatuan, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan syarikat swasta di kawasan pentadbirannya.
Tempoh permohonan dibuka bermula hari ini sehingga 30 November 2025.
Permohonan boleh dihantar setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang sahaja.
Semua permohonan hendaklah dihantar secara fizikal ke Kaunter Gerbang Perkhidmatan Shah Alam (GPSA), yang terletak di Tingkat G, Wisma MBSA.

Bagi melengkapkan permohonan, pihak penganjur perlu menyediakan dan menghantar dokumen-dokumen berikut:
1.Surat permohonan rasmi bagi penganjuran Bazar Ramadan
2.Surat kebenaran pemilik lokasi (tanah, bangunan atau tempat letak kereta)
3.Pelan lokasi tapak bazar yang dicadangkan
4.Gambar lokasi bazar
5.Senarai lengkap nama peniaga yang akan menyertai Bazar Ramadan
Sebarang pertanyaan atau aduan berkenaan permohonan ini boleh dikemukakan melalui emel rasmi ke alamat bazar@mbsa.gov.my
Pihak MBSA menggalakkan semua penganjur yang berkelayakan untuk menghantar permohonan dalam tempoh ditetapkan bagi memastikan perancangan awal dan kelancaran pelaksanaan Bazar Ramadan 2026 yang teratur, bersih dan mengikut peraturan.




