SUBANG JAYA, 7 MAC: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyediakan 1,118 petak niaga di 20 lokasi bazar Ramadan di seluruh kawasan pentadbirannya tahun ini.
Datuk Bandar Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata tujuh lokasi membabitkan zon Puchong diikuti enam (Subang Jaya); lima (Serdang/Seri Kembangan) dan masing-masing satu di zon Kinrara serta Putra Heights.
“Tahun ini MBSJ turut terpilih oleh Agrobank bagi pelaksanaan sistem bayaran tanpa tunai di semua bazar sejajar dengan matlamat membentuk masyarakat tanpa tunai.
“Bagi memastikan kelestarian alam sekitar, kita turut melarang penggunaan bekas makanan jenis polisterina dan penyedut minuman plastik di bazar Ramadan MBSJ,” katanya menerusi kenyataan.
Amirul Azizan berkata MBSJ juga bekerjasama dengan badan bukan kerajaan What A Waste (WaW) untuk melaksanakan Kempen Ramadan Elak Pembaziran Makanan sepanjang Ramadan ini.
“Kempen ini bertujuan mengurangkan sisa lebihan makanan sepanjang Ramadan melalui pengumpulan dan agihan makanan yang masih elok tetapi tidak terjual.
“Makanan yang dikumpulkan akan disalur oleh WaW ke rumah kebajikan, gelandangan atau mana-mana individu memerlukan bantuan makanan,” katanya.
Pasukan WaW akan bertapak di lokasi;
- Bazar Ramadan MBSJ USJ 4, Subang Jaya
- Bazar Ramadan MBSJ SS 19, Subang Jaya
- Bazar Ramadan MBSJ USJ 7, Subang Jaya
- Bazar Ramadan MBSJ BK5, Bandar Kinrara
- Bazar Ramadan Taman Puncak Jalil 3/10, Seri Kembangan