SHAH ALAM, 31 OKT: Kerajaan komited membanteras penipuan berkaitan tawaran mengerjakan haji, terutama melibatkan pihak tidak bertanggungjawab yang menjanjikan peluang ke Tanah Suci tanpa kelulusan rasmi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dato’ Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) sentiasa memperhebat hebahan dan peringatan bagi memastikan umat Islam tidak terpedaya dengan pakej haji meragukan ditawarkan ejen atau syarikat tidak sah.
“TH secara berkala mengeluarkan peringatan melalui pelbagai platform hebahan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai.
"Mana-mana individu atau syarikat menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan TH boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menasihatkan umat Islam supaya berhati-hati dengan tawaran luar daripada saluran rasmi memandangkan kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan individu yang memiliki visa haji sah berada di Makkah.
“Pada musim haji lalu, Arab Saudi menguatkuasakan arahan tegas bahawa hanya pemegang visa haji dibenarkan berada di Makkah.
"Saya yakin peraturan ini akan terus diperketat bagi menjamin keselamatan dan keselesaan semua jemaah,” katanya.
Tambah beliau, individu yang berada di kawasan Masyair tanpa visa haji sah boleh dikenakan denda sehingga SAR20,000 dan disenarai hitam daripada memasuki Arab Saudi selama 10 tahun.
Terdahulu, media melaporkan 47 jemaah warga emas menjadi mangsa penipuan ejen haji tempatan yang dipercayai dikendalikan seorang individu bergelar agamawan.
Mereka didakwa terpaksa meredah laluan berisiko tanpa dokumen sah untuk ke Makkah akibat kawalan ketat pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah tanpa visa.
Dalam pada itu, Kerajaan Selangor turut menasihatkan umat Islam di negeri ini supaya berwaspada terhadap tawaran mengerjakan haji oleh ejen tidak diiktiraf.
EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Muhammad Fahmi Ngah berkata, bakal jemaah perlu meneliti setiap tawaran dan membuat semakan dengan TH atau agensi berwibawa sebelum sebarang bayaran dibuat bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
Sementara itu, TH mengesahkan telah meluluskan lesen kepada 31 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim haji 1447H/2026M selepas melalui proses tapisan ketat melibatkan keupayaan kewangan, pematuhan undang-undang dan rekod pengurusan jemaah.
Bagi musim haji tahun depan, 31,600 bakal jemaah mula menerima surat tawaran secara berperingkat sejak minggu lalu, manakala permohonan rayuan akan dibuka pada 3 November ini melalui aplikasi dan laman sesawang THiJARI.






