ad

Kes 1MDB: Nasib Najib diketahui 26 Disember ini

31 Okt 2025, 8:50 AM
Kes 1MDB: Nasib Najib diketahui 26 Disember ini

SHAH ALAM, 31 OKT: Selepas tujuh tahun perbicaraan penuh perhatian, kes penyelewengan dana syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bakal mencapai noktahnya hujung tahun ini.

Mahkamah Tinggi dijadual mengumumkan keputusan sama ada Najib disabit atau dibebaskan daripada empat pertuduhan rasuah membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB serta 21 tuduhan pengubahan wang haram pada 26 Disember depan.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menetapkan tarikh tersebut ketika prosiding hujahan akhir pembelaan yang berlangsung di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini.

“Tertakluk kepada hujahan (di akhir kes pembelaan yang belum selesai), saya boleh katakan sekarang bahawa saya akan menetapkan keputusan pada 26 Disember ini,” katanya seperti dilaporkan BH.

Sequerah turut menetapkan 4 November ini untuk pihak pembelaan menyelesaikan hujahan mereka.

Prosiding hujahan akhir yang bermula pada 21 Oktober lalu kini memasuki hari kesembilan.

Perbicaraan hari ini turut menyaksikan peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, memohon masa tambahan bagi merumuskan beberapa isu penting sebelum menutup hujahan.

Najib sebelum ini membuka prosiding hujahan dengan kenyataan pembelaan, disusuli oleh pasukan peguamnya yang turut dibarisi Tania Scivetti dan Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin.

Pendakwaan pula diketuai oleh Datuk Ahmad Akram Gharib, bersama Datuk Kamal Baharin Omar, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, dan T Deepa Nair.

Pada 6 Mei lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas 26 saksi memberi keterangan sepanjang 58 hari perbicaraan.

Secara keseluruhan, kes ini mengambil masa 293 hari dengan mahkamah mendengar keterangan daripada 50 saksi pendakwaan dan 26 saksi pembelaan.

Kes berprofil tinggi ini terus menjadi tumpuan dalam dan luar negara, menandakan salah satu detik penting dalam sejarah perundangan serta politik Malaysia.