SHAH ALAM, 31 OKT: Dua rakan dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemukan rentung dalam kereta yang dibakar di sebuah ladang kelapa sawit, tujuh tahun lalu.
Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet menjatuhkan hukuman terhadap Wong Mun Fai dan Tan Chun How, masing-masing berusia 33 tahun bermula daripada tarikh penangkapan mereka pada 15 November 2018, lapor Harian Metro.
Berdasarkan pertuduhan pilihan itu, kedua-dua tertuduh secara bersama melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian terhadap Heng Wei Yong yang ketika kejadian berumur 21 tahun dengan niat hendak menyebabkan kematian.
Kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan itu dilakukan di laluan masuk ke kebun kelapa sawit berhampiran tiang elektrik 11KV PPU TI 9K5 194, Jalan Kampung Banjar, Teluk Intan dalam daerah Hilir Perak antara jam 12.05 tengah malam hingga 12.30 tengah malam 15 November 2018.
Berdasarkan fakta kes, terdapat lebih daripada satu kesan tikaman pada tubuh mangsa yang rentung yang mana tikaman itu didapati oleh pakar bedah siasat (SP23) sebagai punca kematian mangsa dan mangsa mati bukan disebabkan kebakaran.
Berdasarkan fakta itu juga, keterangan utama SP29 (Saksi Pendakwaan ke-29) yang turut ditahan susulan insiden itu menunjukkan bahawa Mun Fai dan Chun How adalah individu terakhir bersama mangsa dengan saksi terbabit turut mengesahkan terdapat seorang lagi individu bersama dua tertuduh berkenaan.
Fakta sama menyatakan, SP29 mengesahkan berlaku kebakaran dalam sebuah kereta di tempat kejadian yang mana selepas itu hanya dua tertuduh itu sahaja yang masuk untuk menaiki kereta yang dipandu oleh SP29.
Fakta itu juga menyatakan mangsa meninggal dunia akibat luka tikaman dan mayat dibakar bagi tujuan untuk melupuskan kewujudan identiti mangsa.
"Berdasarkan kepada keseluruhan keterangan yang dikemukakan pihak pendakwaan, adalah jelas menunjukkan dua tertuduh berkenaan melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian terhadap si mati," menurut fakta kes itu.
Pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Ghani manakala Mun Fai diwakili peguam, Datuk Naran Singh dan Amrick Singh Sandu manakala Chun How diwakili peguam V Santhiran.
Dalam mitigasi hukuman, Naran berkata anak guamnya adalah penanggung tunggal nafkah keluarga dan menanggung ibu berusia 66 tahun manakala Santhiran berkata anak guamnya seorang duda empat anak dengan pendapatannya yang bekerja kontrak sebelum ini RM2,000 sebulan. Kedua-dua tertuduh juga tiada rekod jenayah lampau.




