ad

10 juta pekerja bakal nikmati perlindungan ‘Lindung 24/7’

30 Okt 2025, 10:44 AM
10 juta pekerja bakal nikmati perlindungan ‘Lindung 24/7’
10 juta pekerja bakal nikmati perlindungan ‘Lindung 24/7’
10 juta pekerja bakal nikmati perlindungan ‘Lindung 24/7’
10 juta pekerja bakal nikmati perlindungan ‘Lindung 24/7’

PUTRAJAYA, 30 OKT: Kira-kira 10 juta pekerja formal di seluruh negara bakal menikmati perlindungan keselamatan sosial menyeluruh melalui pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau ‘Lindung 24/7’, inisiatif terbaharu di bawah program LINDUNG Pekerja oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) memaklumkan bahawa inisiatif tersebut menawarkan perlindungan menyeluruh selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, tidak lagi terhad kepada waktu bekerja semata-mata.

Menurut Kesuma, perlindungan itu turut terpakai sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu kerja, di mana-mana tempat dan pada bila-bila masa.

“Bacaan pertama Rang Undang-Undang (RUU) bagi pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) telah dibentangkan di Dewan Rakyat, menandakan langkah penting dalam memperkukuh jaringan perlindungan sosial negara melalui pengenalan Lindung 24/7.

“Pengenalan LINDUNG 24/7 bukan sahaja meningkatkan perlindungan kepada pekerja dan keluarga mereka, malah membantu mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan awam negara dengan memastikan mangsa kemalangan terus mendapat bantuan kewangan dan pemulihan sewajarnya,” menurut Kesuma.

Antara faedah yang ditawarkan menerusi LINDUNG 24/7 termasuk Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Elaun Layanan Sentiasa (ELS), Faedah Pengurusan Mayat (FPM) serta Faedah Pemulihan dan Faedah Pendidikan.

Pindaan akta berkenaan turut mengambil kira realiti semasa dunia pekerjaan yang semakin fleksibel dan berisiko di luar tempat kerja, sejajar dengan perubahan corak kerja masa kini termasuk mengambil kira faktor kerja jarak jauh.

“Bacaan Kedua dan Ketiga pindaan tersebut akan dibentangkan oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim pada sidang Parlimen Disember ini,” menurut kenyataan itu.

Kesuma memberitahu langkah berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan setiap pekerja di Malaysia sentiasa dilindungi pada setiap masa dan di mana jua mereka berada.

- BERNAMA