ad

Kerajaan teliti mekanisme terbaik kawal selia permainan video dalam talian

30 Okt 2025, 10:01 AM
Kerajaan teliti mekanisme terbaik kawal selia permainan video dalam talian

RAUB, 30 OKT: Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang meneliti mekanisme terbaik dan terpantas bagi mengawal selia permainan video dalam talian susulan kebimbangan terhadap keselamatan pengguna, khususnya golongan kanak-kanak.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kementeriannya telah mengadakan mesyuarat bersama SKMM bagi membincangkan perkara itu, namun keputusan rasmi masih belum dapat diumumkan kerana ia masih di peringkat penelitian.

“Insya-Allah, Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) akan mula berkuat kuasa awal tahun depan dan akta ini akan digunakan untuk memastikan platform media sosial serta penyedia perkhidmatan dalam talian menyediakan ekosistem yang selamat, khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Internet Selamat (KIS) Peringkat Negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan Raub Indah, di sini hari ini.

Fahmi berkata kementerian juga sedang memantau dan meneliti keperluan untuk melesenkan sekurang-kurangnya 10 jenis permainan dalam talian, termasuk Roblox, yang didapati tidak sesuai untuk kanak-kanak berusia bawah 16 tahun.

“Kita sedang meneliti mekanisme dan kerangka kawal selia terbaik. Berikan sedikit masa sebelum pengumuman rasmi dibuat, namun yang pasti kita tidak boleh berdiam diri atau berpeluk tubuh,” katanya.

Beliau berkata kementeriannya juga telah mengadakan pertemuan dengan wakil permainan video dalam talian Roblox, susulan insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera parah akibat dikelar dan ditikam di Kampung Parit Nipah Laut, Batu Pahat, oleh abangnya berusia sembilan tahun yang dipercayai terpengaruh dengan permainan video dalam talian itu.

“Saya telah bertemu dengan mereka (wakil Roblox) dan mereka agak gementar kerana pada hari pertemuan itu, laporan berita menyatakan seorang kanak-kanak sembilan tahun dipercayai telah mencederakan adiknya berusia enam tahun, dan insiden itu dikaitkan dengan pengaruh Roblox.

“Saya sendiri telah mengharamkan anak saya daripada bermain Roblox dan memadam aplikasi itu daripada semua peranti di rumah. Namun, kerajaan belum membuat keputusan rasmi mengenainya. Saya menyeru ibu bapa agar sentiasa memantau aktiviti dalam talian anak-anak mereka,” katanya.

Fahmi berkata SKMM juga akan memanggil penyedia aplikasi OMI dalam masa terdekat bagi memberi penjelasan susulan laporan kes melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang diperlakukan secara tidak senonoh oleh seorang lelaki dewasa selepas berkenalan menerusi aplikasi berkenaan.

“Aplikasi ini perlu diletakkan di bawah kawal selia kerana kita tidak mahu kejadian seperti ini berulang. SKMM sedang meneliti perkara ini dan difahamkan OMI masih belum termasuk dalam kategori kawal selia,” katanya.

Menurutnya, cabaran utama ketika ini bukan hanya untuk menghalang kanak-kanak bawah umur 16 tahun daripada membuka akaun media sosial, tetapi juga memastikan sistem verifikasi umur dan pengesahan identiti dilaksanakan dengan berkesan.

“Setiap platform seperti Facebook dan TikTok mempunyai mekanisme tersendiri, namun ia masih belum cukup meyakinkan,” katanya.

- BERNAMA