SHAH ALAM, 30 OKT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti syor menghubungkan sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di sekolah dengan sistem Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya pemantauan dapatkan dilakukan secara berterusan.
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyambut baik syor itu dan memerlukan masa untuk memperhalusi dan mengambil kira aspek penggunaan perkakasan, sistem dan perangkaian, katanya dipetik Berita Harian.
"Kementerian Pendidikan (KPM) diberi peruntukan sebenar RM8 juta. Ini untuk tujuan pemasangan CCTV di kawasan strategik sekolah. Dengan itu, tentunya untuk meningkatkan langkah keselamatan dan pemantauan ini dapat dilakukan.
"(Ada) Ahli Yang Berhormat yang membangkitkan perkara ini bertanya secara khusus apakah boleh nanti setelah dipasang CCTV di sekolah boleh menghubungkan dengan sistem PDRM?
"Saya menyambut baik idea ini. (Tapi) ia melibatkan soal perkakasan, sistem, soal networking (perangkaian). Saya akan meminta pihak KDN melihat kemungkinan hal ini boleh dilaksanakan supaya pengawasan bersifat 'real time' atau masa sebenar akan dapat dilakukan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Sebelum ini, KPM menetapkan beberapa kriteria sebagai garis panduan bagi pemasangan CCTV di asrama sekolah tahun ini, dengan keutamaan kepada sekolah berisiko tinggi buli.
Selain pemasangan CCTV, beliau berkata antara langkah lain adalah dengan meningkatkan pengawasan polis di kawasan sekolah bersifat 'omni-presence'.
Selaras dengan arahan Jemaah Menteri, beliau mengarahkan pasukan polis untuk meningkatkan pengawasan terutama menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV), unit rondaan motokar dan motosikal.
"Ia supaya keberadaan pasukan polis dapat meningkatkan lagi keyakinan keselamatan sekolah dan menghalang pelaku daripada melaksanakan niat mereka (lakukan jenayah)," katanya.
Pada masa sama, beliau turut menuntut pembabitan pihak seperti Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) supaya memainkan peranan dalam menangani isu berbangkit di sekolah.
Berdasarkan statistik terkini kes buli di sekolah, sebanyak 87 kes direkodkan sepanjang Ogos hingga September tahun ini.
Bagi kes rogol yang berlaku dalam kawasan sekolah, sebanyak 112 kes dilaporkan dalam tempoh 2022 hingga 2025.
Daripada jumlah itu, sebanyak 27 kes berlaku pada 2022, 22 kes (2023), 29 kes (2024) dan 34 kes (setakat September 2025).
Kes bunuh dalam kawasan sekolah pula setakat ini merekodkan dua kes, masing-masing membabitkan pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Utama.




