ad

SUKMA 2026: Pusat Akuatik Darul Ehsan siap naik taraf Mei depan

29 Okt 2025, 12:31 PM
SUKMA 2026: Pusat Akuatik Darul Ehsan siap naik taraf Mei depan

SHAH ALAM, 29 OKT: Kerja menaik taraf Pusat Akuatik Darul Ehsan, salah satu venue utama Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, dijangka siap penghujung Mei tahun depan.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata proses penyelenggaraan yang mengambil masa lapan bulan itu dilaksanakan Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd.

“Setakat ini kerja naik taraf berjalan lancar dan mengikut jadual. Sementara itu, Lapang Sasar Menembak di Subang sedang melalui proses pentadbiran termasuk pengurusan peruntukan, dan dijangka mula dinaik taraf dalam masa terdekat.

“Untuk venue sukan lain, pihak berkuasa tempatan turut mempergiat persiapan dan kerja naik taraf,” katanya kepada Media Selangor.

SUKMA Selangor 2026 berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, diikuti Para SUKMA pada 5 hingga 14 September. Upacara perasmian diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) manakala penutup di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Edisi kali ini mempertandingkan 474 acara merangkumi 37 sukan, termasuk 30 sukan teras seperti ragbi serta tujuh sukan tambahan antaranya e-sukan, kriket dan silambam.

Sebanyak sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan menjadi tuan rumah seluruh negeri, kecuali acara berbasikal trek yang dijalankan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.