SHAH ALAM, 29 OKT: Peranan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di sekolah perlu diperkukuh sebagai rakan empati yang membantu pelajar mengurus tekanan emosi dan mengelak gejala buli yang semakin membimbangkan dalam kalangan remaja.
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari, berkata kebanyakan kes buli dan keganasan pelajar yang berlaku sejak kebelakangan ini berpunca daripada kegagalan mengawal emosi dan tekanan perasaan.
“Ramai pelajar yang kelihatan garang atau suka membuli sebenarnya sedang menanggung beban emosi, rasa marah, sunyi atau tidak cukup bagus. Kita jangan cepat melabel mereka sebagai ‘budak jahat’, sebaliknya bantu mereka urus emosi dengan kasih sayang,” katanya.
“Peranan PRS amat besar kerana mereka adalah rakan mendengar di sekolah. Kadang-kadang seseorang hanya perlukan kawan yang sudi mendengar tanpa menghukum. Empati itu kekuatan, bukan kelemahan,” tambahnya ketika merasmikan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak (Pembimbing Rakan Sebaya – PRS) Peringkat Negeri Selangor 2025 di Shah Alam Convention Centre (SACC), semalam.
Beliau menegaskan pendekatan empati perlu menjadi budaya di sekolah agar setiap pelajar berasa diterima dan disayangi, bukan dihukum atau dipinggirkan kerana kesilapan lalu.
Program anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor (JKMNS) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) itu disertai 130 pelajar PRS dari 31 sekolah seluruh Selangor.
Anfaal turut mengingatkan supaya pelajar tidak berdiam diri sekiranya menyaksikan kes buli berlaku, sebaliknya bertindak melaporkan kepada Talian Kasih 15999, WhatsApp 019-2615999 atau menggunakan Aplikasi Mobile Talian Kasih untuk mendapatkan bantuan segera.
“Kita mahu sekolah menjadi ruang yang selamat — tempat pelajar belajar, membina sahsiah dan memperbaiki diri, bukan tempat yang menakutkan,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi rakan strategik atas komitmen memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak di Selangor dan membina budaya sekolah penyayang serta bebas buli.




