SHAH ALAM, 29 OKT: Kerajaan Negeri terus komited memperkasa kebajikan dan kesejahteraan tenaga kerja melalui inisiatif Centralised Labour Quarters (CLQ) yang dilaksanakan bersama PKNS FM Integrated Sdn Bhd (PKNS FMI).
EXCO Sumber Manusia, V. Papparaidu menerusi Facebook berkata, inisiatif itu penting bagi memastikan penyediaan tempat tinggal pekerja yang lebih tersusun, selamat dan berdaya huni, seiring agenda pembangunan mampan negeri.
“Kerajaan Negeri menyambut baik usaha PKNS FMI dalam memainkan peranan aktif melalui pendekatan holistik ini yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pekerja, tetapi turut memperkukuh ekosistem pekerjaan di Selangor,” katanya .
Beliau berkata demikian selepas selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas pihak pengurusan PKNS FMI, baru-baru ini.
Dalam kunjungan itu, beliau turut menerima taklimat mengenai projek CLQ yang dibentangkan oleh Ketua Jabatan Pengurusan Aset, Kamaruzain Kamisan, manakala kehadirannya disambut Ketua Pegawai Eksekutif PKNS FMI, Haji Shamshul Bahari Ahmad bersama barisan pengurusan kanan syarikat.
Inisiatif CLQ dilihat sebagai langkah proaktif untuk menyediakan kediaman pekerja yang lebih sistematik dan memenuhi piawaian keselamatan serta kebersihan, sejajar dengan aspirasi Selangor sebagai negeri maju dan berdaya huni.






