ad

Ibu bapa kanak-kanak cedera dikelar ditahan bantu siasatan

28 Okt 2025, 12:54 PM
Ibu bapa kanak-kanak cedera dikelar ditahan bantu siasatan

BATU PAHAT, 28 OKT: Polis menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang cedera akibat dikelar dengan pisau di kediaman mereka di Parit Raja, Batu Pahat semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata pasangan berusia 41 tahun yang menjalankan perniagaan sendiri itu ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat kira-kira jam 4 petang tadi.

“Polis turut membuka kertas siasatan baharu di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan pengabaian kanak-kanak,” katanya.

Menurut laporan, ibu mangsa menyedari anaknya mengalami kesan kelar di leher sebaik sahaja terjaga daripada tidur pada jam 5.30 pagi di rumah mereka.

Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata tajam.

Terdahulu, Shahrulanuar berkata kanak-kanak berkenaan dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dan masih dirawat di wad.

“Mangsa sudah boleh bercakap, namun polis belum merekodkan keterangan kerana dia belum pulih sepenuhnya,” katanya.