ad

Kekasih antara tujuh ditahan kes samun babit emas bernilai RM5.7 juta

28 Okt 2025, 8:41 AM
Kekasih antara tujuh ditahan kes samun babit emas bernilai RM5.7 juta

PASIR MAS, 28 OKT: Polis menumpaskan kes samun membabitkan 10.9 kilogram emas bernilai RM5.7 juta di sebuah kedai pajak gadai di sini, selepas menahan tujuh individu termasuk pengurus premis berkenaan yang juga kekasih suspek utama.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata semua suspek yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki, pengurus kedai, pengawal keselamatan dan empat pekerja wanita berusia antara 26 hingga 66 tahun.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pengurus kedai berusia 49 tahun itu dipercayai merancang jenayah berkenaan bersama teman lelakinya selama sebulan sebelum kejadian pada 21 Oktober lalu.

“Pada jam 1 tengah hari, lelaki itu masuk ke kedai ketika pengawal keselamatan keluar menunaikan solat.

Suspek kemudian menyembur cecair pembasmi kuman ke arah pekerja dan mengacukan pisau sebelum melarikan barang kemas dari bilik kebal,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, hari ini, lapor Sinar Harian.

Bertindak atas laporan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan IPD Pasir Mas menahan empat pekerja kedai pada hari sama, diikuti pengawal keselamatan berusia 39 tahun.

Menurut Mohd Yusoff, siasatan lanjut membawa kepada serbuan di Rawang, Selangor pada 24 Oktober yang membawa kepada penahanan suspek utama berusia 49 tahun bersama rampasan dua bilah pisau, sebotol cecair pembasmi kuman, wang tunai RM12,880, mata wang Thai Baht 11,160 dan sebuah kenderaan pikap Isuzu.

“Susulan tangkapan itu, satu lagi serbuan dilakukan di sebuah rumah di Panji, Kota Bharu pada 25 Oktober dan polis menemui 933 plastik berisi pelbagai jenis barang kemas seberat 10.9 kilogram dengan nilai dianggarkan RM5.7 juta,” katanya.

Turut dirampas dalam serbuan kedua ialah wang tunai RM77,198, sarung muka, cermin mata dan dekoder CCTV, selain penahanan pengurus kedai yang dipercayai perancang utama.

“Wanita terbabit merupakan pekerja lama yang dipercayai pemilik kedai yang tinggal di Terengganu,” jelasnya.

Mohd Yusoff berkata, semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan bebas daripada pengaruh dadah dan mereka direman sehingga 30 Oktober bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.