AKPS rampas 30 kilogram akar ginseng tiada permit import sah

28 Okt 2025, 2:59 AM
AKPS rampas 30 kilogram akar ginseng tiada permit import sah

SHAH ALAM, 28 OKT: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggagalkan cubaan membawa masuk kira-kira 30 kilogram akar ginseng tanpa permit sah oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun.

Menurut AKPS, lelaki berkenaan ditahan ketika pemeriksaan bagasi dijalankan melalui mesin pengimbas di balai ketibaan antarabangsa KLIA pada 25 Oktober lalu.

"Pemeriksaan menemui beberapa bungkusan mengandungi akar ginseng dengan nilai anggaran RM7,000. Siasatan awal mendapati suspek tiba dari China dan gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berkaitan kemasukan komoditi pertanian tersebut," katanya menerusi Facebook.

Menurut AKPS kes disiasat di bawah Seksyen 11 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana membawa masuk komoditi pertanian tanpa permit import yang sah.

Dalam pada itu, semua akar ginseng yang dirampas telah disita untuk tindakan lanjut.