ad

Usahawan harap Belanjawan Selangor 2026 beri tumpuan kepada dana dan digitalisasi

28 Okt 2025, 4:00 AM
Usahawan harap Belanjawan Selangor 2026 beri tumpuan kepada dana dan digitalisasi
Usahawan harap Belanjawan Selangor 2026 beri tumpuan kepada dana dan digitalisasi
Usahawan harap Belanjawan Selangor 2026 beri tumpuan kepada dana dan digitalisasi

SHAH ALAM, 28 OKT: Golongan usahawan tempatan berharap Belanjawan Selangor 2026 akan terus memberi tumpuan kepada sokongan dana, pengukuhan literasi digital dan peluang pembangunan perniagaan yang lebih meluas.

Pengusaha Homegrown Checkgoo Resources, Intan Shaidatul Shima Mohd Shariff, 39, berkata suntikan dana kepada usahawan tempatan wajar ditingkatkan bagi membantu mereka memperkukuh daya saing dan menyesuaikan diri dengan perkembangan ekonomi semasa.

“Selain bantuan kewangan, saya berharap Kerajaan Negeri dapat memperbanyakkan kelas intensif yang menggabungkan elemen digital dalam perniagaan kerana usahawan masa kini perlu memiliki bukan sahaja literasi kewangan tetapi juga kemahiran digital untuk kekal relevan,” katanya kepada Media Selangor.

Sementara itu, pengusaha Crystal Sofea Resources, Nor Hasiza Omar, 58, berpandangan modal tambahan amat penting khususnya bagi usahawan mikro agar mereka dapat memperluas operasi serta memajukan perniagaan sedia ada.

“Ramai usahawan kecil berpotensi besar, tetapi kekurangan modal menjadi penghalang utama untuk mereka berkembang. Diharap Belanjawan Selangor kali ini memberi lebih ruang dan peluang kepada golongan ini,” ujarnya.

Bagi pengusaha IQ Furniture Enterprise, Hazizan Kamarudin, 46, pula, beliau berharap Kerajaan Negeri dapat menyediakan geran khas bagi membantu sektor perabot memperoleh mesin baharu dan menaik taraf model serta produk jualan.

“Industri kabinet dapur memerlukan modal yang besar, jadi bantuan mesin atau peralatan amat membantu dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti produk tempatan,” katanya.