SHAH ALAM, 27 OKT: Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras), anak syarikat Majlis Agama Islam Selangor (Mais), membuka satu lagi ruang pembangunan ekonomi umat Islam dengan pelancaran Gedung Fesyen & Produk Berjenama Teras di Taman Sri Manja, Petaling Jaya, hari ini.
Langkah itu disertai Kempen Jualan Kembali ke Sekolah yang bertujuan membantu ibu bapa membuat persiapan persekolahan anak-anak menjelang sesi akademik 2026, di samping memperluas capaian produk keluaran tempatan berasaskan ekonomi asnaf.
Pengerusi Mais, Dato’ Setia Salehuddin Saidin berkata pelaksanaan inisiatif tersebut menunjukkan komitmen Teras dalam membina ekosistem ekonomi Islam yang mampan serta membuka ruang penyertaan lebih luas kepada golongan asnaf dan usahawan kecil.
“Langkah ini bukan hanya tentang membuka kedai atau menjual produk, tetapi membina keyakinan dan keupayaan ekonomi masyarakat Islam supaya lebih berdaya saing serta berdikari,” katanya ditemui selepas majlis pelancaran.
Turut hadir Pengerusi Teras, Dato’ Bakhtiar Hussin serta Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Hasnul Redza Abdul Rahim.
Gedung yang mula beroperasi sejak September lalu menawarkan pelbagai barangan termasuk pakaian sekolah, pakaian harian, serta produk jahitan seperti baju kurung, telekung, tudung dan kurta.
Teras dalam kenyataan berkata, pihaknya turut memperkenalkan produk makanan berjenama sendiri seperti beras import dan minyak masak yang kini menembusi pasaran tempatan.
Sebagai sebahagian daripada kempen tersebut, Teras akan membuka sembilan kedai baharu di beberapa lokasi sekitar Selangor antara November 2025 hingga Januari 2026.
Sementara itu, Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) menaja 30 anak yatim di bawah seliaannya bagi menerima kelengkapan persekolahan dengan nilai tajaan RM200 seorang sekali gus memberi dimensi kebajikan kepada pelaksanaan kempen itu.
Majlis pelancaran turut menyaksikan penyerahan dividen Teras bagi 2024 berjumlah RM121,718.40 kepada Mais selain sumbangan wakaf tunai RM100,000 kepada Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) dan RM100,000 kepada YIDE untuk tujuan pembinaan rumah anak yatim.
Teras dalam kenyataan berkata inisiatif itu sebahagian daripada pelaksanaan Pelan Strategik Teras 2025–2027, yang memberi tumpuan kepada peluasan rangkaian gedung di seluruh negeri sebagai platform pembangunan ekonomi berasaskan keusahawanan sosial dan nilai Islam.




