ad

Kanak-kanak lelaki enam tahun parah dikelar

27 Okt 2025, 12:43 PM
Kanak-kanak lelaki enam tahun parah dikelar

BATU PAHAT, 27 OKT: Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun parah selepas lehernya dipercayai dikelar menggunakan senjata tajam dalam kejadian di sebuah rumah di Parit Raja pagi tadi.

Mangsa berusia enam tahun itu dikelar di leher kanan dipercayai menggunakan pisau dengan kejadian itu hanya disedari jam 5.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu mangsa berusia 40 tahun jam 9 pagi.

“Hasil siasatan awal mendapati wanita berkenaan tersedar daripada tidur dan mendapati anak lelakinya parah di bahagian leher kanan.

“Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata tajam,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian, selain menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial yang boleh menjejaskan siasatan.

Katanya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001.

Mangsa dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan.