SHAH ALAM, 27 OKT: Kemasukan negara baharu menganggotai Asean mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan serantau, kata Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata, kemasukan bersejarah seperti Timor-Leste ke dalam Asean serta rakan strategik baharu berupaya meningkatkan paras gaji secara menyeluruh.
Menurutnya, Malaysia melakar sejarah tersendiri ketika menjadi pengerusi apabila keanggotaan Asean berkembang kepada 11 negara dengan penyertaan Timor-Leste.
“Ketika rakyat menolak projek globalisasi akibat kesenjangan kekayaan dan pendapatan, aspek serantau menjadi lebih penting. Inilah saatnya untuk Asean melakar masa depan rantau yang lebih adil kepada rakyat dan masyarakat secara keseluruhan.
“Kita harus terbuka dengan kemasukan strategik negara lain ke dalam Asean yang mempunyai kekuatan tersendiri dalam menangani pelbagai isu, antaranya migrasi dan pembaharuan teknologi.
“Apa yang penting, siapa pun jiran yang menganggotai Asean perlu menerima dan memahami asas blok ini iaitu keamanan, dan untuk ini kita tidak ada kompromi,” katanya ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Baru-baru ini, Timor-Leste diterima sebagai anggota ke-11 Asean selepas menyerahkan Instrumen Penyertaan kepada Piagam Asean dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).
Majlis penyerahan itu disaksikan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan bersama menteri luar negara anggota Asean di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata, Malaysia konsisten mengekalkan Asean sebagai wadah perhubungan dan diplomasi yang membawa manfaat kepada semua negara.
“Namun, ada beberapa perkara boleh ditingkatkan termasuk dagangan antara negara Asean yang masih rendah.
“Malaysia boleh menjadi katalis atau platform bagi menjayakan projek Asean sebagai pusat dunia demi kejayaan bersama,” katanya.




